Niqa' Dan Fatrah

Fasal. Pada menyatakan niqa’ dan fatrah.

 Fatrah adalah satu keadaan yang terselang mengalir darah didalamnya dan tinggal didalam faraj bekas darah sekira-kira jika dimasukkan kapas kedalamnya nescaya kelihatan pada kapas itu warna darah.

Niqa’ adalah satu hal yang terselang keluar darah didalamnya serta tiada tinggal bekas darah didalam faraj sekira-kira jika dimasukkan kapas kedalamnya nescaya keluar ia bersih tiada kelihatan padanya warna darah.

 Niqa’ yang pada selang-selang darah itu dihukumkam haid dengan tiga syarat.

 Pertama         : tiada lampau ia akan lima belas hari.
 Keduanya     : tiada kurang perhimpunan darah itu daripada sehari semalam.
 Ketiga            : niqa’ itu lebih daripada fatrah yang teradat antara darah dan haid
                        kerana fatrah itu haid dengan tiada khilaf sekelian ulamak.


 Darah yang keluar diantara darah anak-anak yang kembar adalah darah haid jika diperolehi syarat-syaratnya. Demikian lagi darah yang keluar selepas keluar anggota yang bercerai daripada anak yang didalam perut, iaitu darah haid apabila diperoleh syarat-syaratnya, bukan darah nifas…kerana keluarnya sebelum kosong peranakkan daripada anak. Demikian lagi darah yang dilihat oleh perempuan yang bunting, maka ianya darah haid apabila diperoleh syaratnya seperti yang terdahulu kenyataannya.


HARAM DENGAN SEBAB HAID DAN NIFAS

Haram dengan sebab haid dan nifas oleh apa yang haram dengan sebab janabah, daripada sembahyang, tawaf, sujud tilawah, sujud syukur, khutbah jumaat, menyentuh mashaf, berhenti didalam masjid dan membaca Quran dengan kasad Quran.
Haram pula lebih daripada yang tersebut itu lima perkara.
Pertamanya: lalu didalam masjid, jika dia takut menitik darahnya, kerana memelihara masjid daripada kena najis. Jika dia tidak takut, maka tidaklah haram,hanya makruh sahaja. Sama seperti orang yang berhaid adalah tiap-tiap orang yang ada pada badannya atau kasut yang ditanggungnya najis yang basah. Maka haram atasnya lalu didalam masjid. Tetapi jika dia tidak takut akan demikian itu maka tidak haram dan tidak makruh. Inilah perbezaan diantaranya dan perempuan perempuan yang berhaid.

Keduanya: mandi atau tayammum kerana mengangkatkan hadath atau kerana ibadat. Maka ianya haram melainkan segala mandi sunat pada haji, maka ianya sunat.

Ketiganya: puasa, maka ianya haram lagi tiada sah, dengan ijmak…kerana sabda nabi s.a.w. artinya: bukankah apabila seorang perempuan berhaid tiada dia sembahyang dan tiada puasa, artinya haram keduanya atas dia. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Walaubagaimanapun wajib dia mengkadha puasa, bersalahan sembahyang. Maka tiada wajib dia mengkadhanya kerana hadith Muslim daripada A’isyah r.a, katanya artinya : adalah kami diperintah mengkadha puasa dan tidak diperintah mengkadha sembahyang. Lagi pula kerana sembahyang itu banyak maka masyaqqah mengkadhanya, bersalahan puasa.

Apabila tiada wajib dia mengkadha sembahyang maka adakah sunat dia mengkadhanya atau makruh atau haram? Bersalah-salahan ulamak pada yang demikian itu atas dua kaul. Kata satu jamaah daripada ulamak mutaqaddimiin seperti Ibnu Shabbagh dan Ruyani dan Ibnu U’jail: makruh dia mengkadhanya. mengi’timad pendapat ini Syeikhul Islam dan syeikh Ramli. Kata Baidhawi: haram atas dia mengkadhanya. Ibnu Sholah dan imam Nawawi mengakui pendapat ini dan syeikh Jalalul Mahalli jazam dengannya dan syeikh Ibnu Hajar merajihkannya.

Apabila hukum mengkadhanya itu makruh atau haram adakah sah sembahyangnya atau tiada sah? Maka yang dirajihkan oleh syeikh Khatib Syarbini dan syeikh Ibnu Hajar didalam Mughni dan Tukhfah adalah bahawa tidak sah sembahyangnya, dan yang dirajihkan oleh syeikh Ramli didalam Nihayah adalah sah sembahyangnya.



PERHATIAN
Kedatangan yang menengahkan seseorang, kemudian daripada sudah lalu masa ia sembahyang dan bersucinya bagi umpama orang yang silsil baul atau umpama , maka wajib ia mengqadha kemudian daripada sucinya atau hilang ia daripada haid atau siuman daripada gilanya atau nifasnya dan sanya ada lagi tinggal daripada waktu kadar takbiratul ihram dan wajib ia mandi dan ia  sembahyang  qadha akan dia yakni akan empunya waktu yang ia dapat kadar takbiratul ihram dan wajib pula ia qadha akan waktu dahulu daripadanya iaitu zohor dan maghrib dan jika ada ia sembahyang yang di jama’kan antara keduanya seperti di dapat akan akhir asar atau akhir isyak.

Keempatnya : menyentuh apa yang diantara pusat dan lututnya dengan tiada berlapik sekalipun tanpa syahwat, samaada sentuh itu dengan tangan atau dengan kaki atau dengan zakar atau dengan lain daripadanya, dan samaada sentuh dengan zakar itu dengan tiada setubuh serta tiada berlapik atau dengan setubuh sekalipun dengan berlapik. Maka sekelian itu haram dengan sebab haid dan nifas. Kata sebahagian ulamak: tiada haram menyentuh apa yang diantara pusat dan lututnya dengan selain setubuh.



Setubuh pada faraj perempuan didalam masa masih keluar darahnya itu dosa besar jika dia tahukan haramnya, lagi dengan sengaja, lagi dengan ikhtiarnya. Barang siapa yang menghalalkannya jadilah dia kafir. Adapun mengiktikadkan halal setubuh kemudian daripada putus darah dan sebelum mandi atau pada akhir darah dan dhaifnya seperti ia bewarna kuning atau keruh

maka tidaklah dia kufur dengannya, seperti yang tersebut didalam al Anwar dan lainnya kerana khilaf ulamak pada yang demikian itu
Kelimanya : talak, dengan syarat-syaratnya yang akan datang pada babnya, maka ianya haram, kerana terhasil masyaqqah bagi perempuan yang ditalakkan dengan sebab lanjut masa i’ddahnya, kerana masa haid dan nifas itu tiada dikirakan daripada i’ddah.

Apabila putus darah haid dan nifas halal baginya mandi kerana mengangkatkan hadath atau tayammum.

Tidak halal sebelum daripada mandi atau tayammum itu segala perkara yang diharamkan melainkan dua perkara.

Pertama: puasa kerana telah hilang sebab haramnya, iaitu khusus haid, bkanlah sebab haramnya itu umum keadaan haid itu hadath dengan dalil tiada haram puasa atas yang berjunub kerana jika sebab haram puasa umum keadaan haid itu hadath nescaya haramlah puasa atas yang berjunub.

 Keduanya: talak kerana hilang i’llat haramnya, iaitu melanjutkan i’ddah. Adapun selain puasa dan talak maka ianya tidak halal melainkan selepas mandi atau tayammum.