Bab Nifas


TAKRIF

 Nifas pada syarak : darah yang keluar kemudian daripada kosong peranakkan daripada anak atau a’laqah atau mudghah.

TEMPOH NIFAS

 Sekurang-kurang nifas itu satu lahzah dan sebanyak-banyaknya enam puluh hari dan yang ghalibnya empat puluh hari dengan periksa imam kita Syafie radhiallahu anhu.



PERHATIAN

Haram dengan sebab nifas perkara yang haram dengan sebab haid kerana nifas itu adalah darah haid yang terhimpun sebelum ditiupkan roh anak. Selepas ditiupkan roh padanya adalah darah itu jadi makanan anak itu. Walaubagaimanapun perbezaan nifas dan haid adalah bahawa haid bertakluk dengannya ‘iddah dan istibra’ sedangkan keduanya itu tiada bertakluk dengan nifas kerana hasil ‘iddah dan istibra sebelum nifas dengan semata-mata beranak. Lagi pula perbezaannya adalah bahawa sekurang-kurang nifas itu tidak menggugurkan kewajipan sembahyang kerana masanya singkat tiada meluluskan sembahyang, bersalahan sekurang-kurang haid.

WAKTU MULA NIFAS

 Permulaan masa nifas itu adalah mengiringi beranak. Ini jika keluar darah nifas itu mengiringi keluar anak.

Adapun jika ia tiada mengiringinya maka permulaan masa nifas itu adalah daripada keluar darah.

 Diatas kaul ini maka masa niqa’ yang diantara keluar anak dan keluar darah itu bukan ia daripada masa nifas, maka lazim diatas seorang perempuan di dalam masa itu segala hukum perempuan yang suci maka wajib dia mandi wiladah dan sembahyang didalam masa niqa’ itu. Akan tetapi masa niqa’ itu dikirakan ia daripada enam puluh hari, sepertimana yang dikatakan oleh Bulqini. Demikianlah yang tersebut didalam Tuhfah.