3. Mu’tadah Ghari Mumaiyizah [ معتادة غير مميزة ]


Jika seorang perempuan itu telah beradat haid dan ingat akan kadar haidnya dan waktunya serta tidak dapat membezakan sifat darahnya maka dikembalikan dia kepada adat haid dan sucinya pada kadarnya dan waktunya.

Sabitlah adatnya jika tiada berlain-lainan dengan sekali jua. Maka jika dia berhaid didalam sebulan lima hari pada permulaan bulan kemudian dia istihadhah pada bulan yang kedua nescaya dihukumkan haidnya itu dengan lima hari pada permulaan bulan yang kedua sepertimana dihukumkan dia dengannya jikalau berulang-ulang adatnya.
Jika adatnya yang berkekalan itu lima hari pada tiap-tiap bulan kemudian berpindah kepada enam hari kemudian dia istihadhah pada bulan berikutnya nescaya dikembalikan haidnya kepada adatnya yang sebelum bulan istihadhah itu iaitu enam hari. Inilah hukum pada adat yang muafakat.

 Adapun jika adatnya berlainan-lainan maka sekiranya adatnya itu teratur tiada sabit adat itu melainkan dengan dua kali. Seperti bahawa dia berhaid didalam satu bulan tiga hari pada bulan kedua lima hari pada bulan ketiga tujuh hari pada bulan keempat tiga hari pada bulan kelima lima hari pada bulan keenam tujuh hari dan pada bulan ketujuh dia istihadhah, nescaya dikembalikanlah haidnya pada bulan yang ketujuh itu kepada tiga hari dan pada bulan kelapan kepada lima hari dan pada bulan kesembilan kepada tujuh hari. Hingga seperti demikian itulah.

 Maka jika tiada berulang-ulang dua adat haidnya seperti dia istihadhah pada bulan yang keempat nescaya dikembalikanlah haidnya kepada tujuh hari iaitu adat haidnya yang sebelum bulan istihadhah itu jika dia mengetahuinya. Jika dia lupa aturan adatnya yang bersalahan itu atau tidak teratur adatnya atau tiada berulang-ulang daurnya serta dia lupa akhir gilirnya pada dua masaalah yang kemudian ini nescaya wajiblah dia mengerjakan ihtiat.

 Maka dijadikan haidnya tiga hari didalam tiap-tiap bulan, selepas daripada tiga hari itu adalah dia pada haram setubuh dan apa yang sebagainya seperti hukum perempuan yang berhaid dan pada wajib ibadat seperti hokum perempuan yang suci, hingga kesudahan tujuh hari. Tetapi hendaklah dia mandi pada kesudahan lima hari dan kesudahan tujuh hari itu. Kemudian daripada tujuh hari itu adalah dia seperti hukum orang yang suci hingga keakhir bulan.