1.Mubtadi'ah Mumaiyizah [ مبتداة مميزة ]


   Maka jika dia baharu kedatangan haid lagi dapat membezakan sifat darahnya seperti dilihatnya darah kuat seperti hitam dan lemah seperti merah maka darah yang lemah itu istihadhah sekalipun lanjut masanya dan darah yang kuat itu haid dengan syarat :

SYARAT TAMYIZ

1-       jika tidak kurang ia daripada sekurang-kurang haid
2-      tiada lampau ia akan sebanyak-banyaknya
3-     tiada kurang yang lemah itu daripada sekurang-kurang suci 
berturut-  turut.


seperti ianya lima belas hari dengan keadaannya berhubung, untuk dijadikan ia suci antara dua haid, samaada terdahulu darah yang kuat itu diatas yang lemah atau terkemudian atau jatuh ia pada pertengahan.

 Maka jika tidak diperoleh satu daripada syarat yang tersebut itu seperti kurang darah yang kuat itu daripada sekurang-kurang haid atau melampaui sebanyak-banyaknya atau kurang darah yang lemah daripada sekurang-kurang suci atau ianya tiada berturut-turut seperti dilihatnya darah sehari hitam dan sehari merah dan kekal seperti demikian itu, maka perempuan itu ketiadaan syarat tamyiz, artinya pembezaan. Lagi akan datang hukumnya. Bersalahan dengan keadaan jikalau dilihatnya darah hitam sehari semalam kemudian dilihatnya darah merah berkekalan hingga beberapa tahun yang banyak maka yang lemah itu sekeliannya suci kerana sebanyak-banyak suci tidak ada had baginya.

 Syarat yang ketiga itu tempatnya jika berkekalan darah. Adapun jika ianya putus seperti dilihatnya sepuluh hari darah hitam dan sepuluh hari darah merah, dan putus maka hendaklah dia mengamalkan tamyiznya. Maka haidnya adalah sepuluh hari darah hitam sahaja, sekalipun jika yang lemah itu kurang daripada lima belas hari.

 Demikian lagi, jikalau dia melihat lima hari darah hitam lima hari darah kuning kemudian enam hari darah merah, atau dia melihat tujuh hari darah hitam kemudian tujuh hari darah merah kemudian tiga hari darah hitam, hendaklah dia mengamalkan tamyiznya. Maka haidnya darah hitam yang pertama diatas kaul yang muktamad yang disahkan oleh imam Nawawi didalam at-Tahkik dan berjalan diatasnya kebanyakkan fuqaha mutaakhirin. tetapi tempatnya jika putus darah itu. Adapun jika darah itu kekal maka perempuan itu ketiadaan syarat tamyiz.


KLASIFIKASI DARAH

 Dikenal kuat darah dengan warna dan dengan kasar dan dengan bau busuk.
Maka warna yang lebih kuat itu hitam kemudian merah kemudian merah bercampur kuning kemudian kuning bercampur putih. 

 Yang kasar lebih kuat daripada yang halus dan yang berbau busuk terlebih kuat daripada yang tiada berbau.

Yang bersifat dengan dua sifat seperti hitam lagi kasar atau berbau busuk lebih kuat daripada yang bersifat dengan satu sifat seperti hitam dengan tiada kasar dan tiada bau busuk.

Yang bersifat dengan tiga sifat, seperti hitam dan kasar dan bau busuk lebih kuat daripada yang bersifat dengan dua sifat, seperti hitam serta kasar atau serta bau busuk.

 Jika bertimbangan dua darah itu pada sifat seperti darah hitam serta kasar dan darah hitam serta bau busuk dan seperti darah merah serta kasar atau serta bau dan darah hitam dengan tiada kasar dan tiada bau, maka yang terdahulu adalah yang kuat dan ia adalah darah haid.

SYARAT CAMPUR DARAH KUAT / LEMAH

 Jika berhimpun darah yang kuat seperti yang hitam dan yang lemah seperti yang merah dan yang terlebih lemah seperti yang kuning maka yang hitam serta yang merah itu haid dengan tiga syarat. :

Pertama  : hendaklah yang hitam itu terdahulu.
Kedua  : hendaklah yang merah dengan yang hitam itu berhubung.
Ketiga : tiada lebih perhimpunan yang hitam dan yang merah itu daripada lima belas hari.

 Seperti seorang perempuan melihat darah lima hari hitam dan lima hari merah kemudian berkekalan kuning maka yang hitam dan yang merah itu haid dan yang kuning itu istihadhah, hukum suci jua, kerana diperoleh syarat-syarat yang tersebut itu.

 Jika perhimpunan yang hitam dan yang merah itu lebih daripada lima belas hari seperti dilihatnya darah sepuluh hari hitam dan enam hari merah, kemudian maka berkekalan kuning, atau terdahulu yang merah atas yang hitam, seperti dilihatnya darah lima hari merah kemudian lima hari hitam kemudian maka berkekalan kuning, atau tiada berhubung yang merah itu dengan yang hitam, seperti dilihatnya darah lima hari hitam kemudian lima hari kuning kemudian maka berkekalan merah, maka darah hitam dalam tiga masaalah itulah haid, yang merah dan yang kuning itu istihadhah