4.Mu’tadah Mumaiyizah [ معتادة مميزة]


Jika dia telah beradat haid dan ingatkan kadar haidnya dan waktunya dan dapat dia membezakan sifat darah dengan syarat- syaratnya yang telah tersebut dahulu itu maka dihukumkan haidnya dengan tamyiz, bukan dengan adat pada tempat yang adatnya menyalahi tamyiz serta tiada menyelangi antara adat dan tamyiz itu sekurang-kurang suci.

Seperti adat haidnya lima hari pada permulaan tiap-tiap bulan kemudian dia istihadhah. Maka dilihatnya darah merah lima hari pada permulaan bulan kemudian darah hitam lima hari kemudian berkekalan darah merah nescaya haidnya adalah darah hitam jua kerana tamyiz itu lebih kuat daripada adat kerana tamyiz itu alamat yang hadhir dan adat itu alamat yang sudah lalu. Lagi pula tamyiz itu alamat yang ada pada darah dan adat itu alamat pada yang empunya darah.


 Adapun jika menyelangi diantara adat dan tamyiz itu sekurang-kurang suci seperti adat haidnya lima hari pada permulaan bulan kemudian dia istihadhah pada bulan yang selepasnya. Maka dilihatnya darah merah dua puluh hari kemudian darah hitam lima hari nescaya darah merah lima hari pada permulaan bulan itulah darah haid dan darah hitam yang lima hari itu adalah haid yang lain, dan darah merah lima belas hari antara keduanya adalah darah istihadhah.

KAEDAH PENTING

 Ketahui oleh mu, bahawa perempuan yang telah beradat haid apabila darahnya melampaui adatnya ditegah dia padanya apa yang ditegah dengan sebab haid kerana diihtimalkan putus darahnya atas lima belas hari. Kemudian apabila putus darahnya atas lima belas hari atau kurang maka sekelian darah itu haid jua. Jika darahnya itu melampaui lima belas hari wajiblah dia mengkadha ibadat masa yang selain daripada adatnya itu, dan pada daur yang kedua dan yang ketiga apabila darahnya melampaui hari-hari adatnya wajiblah dia mandi dan sembahyang kerana telah nyata keadaannya itu istihadah.