Pengenalan Madrasah Al-Ibtidaiah Ad-Diniah Al-Kamaliah



Sistem pondok sebagai sebuah institusi pendidikan telah banyak menabur bakti dalam era kebangkitan Islam dan pembangunan ummah. Kejayaan ini merupakan satu realiti yang terpahat di dalam catatan sejarah umat Islam di rantau ini. Arus permodenan sedikit sebanyak telah meminggirkan sistem pondok sebagai sebuah institusi pendidikan Islam yang ulung serta mempunyai keistimewaan yang tersendiri.
         
Fenomena ini membawa kepada kemalapan serta penutupan sebahagian besar daripada pondok-pondok yang telah diasaskan akibat daripada sambutan masyarakat yang semakin dingin terhadapnya disebabkab arus pembangunan yang tidak selari dengan tuntutan rohaniah. Keadaan inilah yang mendorong Ahli Jawatankuasa Pembangunan Madrasah Al-Ibtidaiah Ad-Diniah Al-Kamaliah mengembeling tenaga dan fikiran untuk menubuhkan satu institusi pondok yang telah dirancang beberapa bulan yang lalu.

Diharapkan dengan bantuan dan derma yang berupa wakaf daripada orang ramai dapatlah mewujudkan sebuah madrasah yang boleh manjadi satu sedekah jariah yang berpanjangan di sisi Allah swt. Selain dari itu juga semoga ia menjadi sebuah pusat pendidikan sistem pondok yang ulung di Daerah Lenggong ini. InsyAllah.

Madrasah ini juga dibangunkan dengan tujuan supaya dapat menjadi satu pusat perkembangan ilmu dan dakwah Islamiah di daerah ini dan juga di kawasan persekitaran dengan sistem pengajian pondok tulen dan cara hidup Islam yang syumul, serta dapat menabur bakti kepada agama. InsyaAllah.