Jika seorang perempuan itu telah beradat haid dan lupa akan
kadar haidnya dan waktunya maka dia adalah perempuan yang
tercengang-cengang tentang keadaan haid dirinya. Maka wajib dia mengerjakan
ihtiat kerana tiap-tiap masa yang lalu atasnya diihtimalkan bagi haid dan
suci dan putus darahnya. Maka adalah dia pada hukum perempuan yang berhaid pada
pihak haram setubuh, menyentuh barang yang diantara pusat dan lutut dengan
tiada berlapik, menyentuh mashaf dan membaca al-Quran diluar sembahyang, kerana
diihtimalkan haid, dan pada hukum perempuan yang suci pada pihak tiada haram
talak dan pada wajib mengerjakan ibadat yang berkehendak kepada niat seperti sembahyang
dan tawaf dan puasa. Maka wajib dia mengerjakan yang demikian
itu
kerana diihtimalkan sucinya.
Wajib dia mandi bagi
tiap-tiap fardhu didalam waktunya kerana diihtimalkan putus darahnya
pada ketika itu jika dia tiada tahu waktu putus darahnya. Jika dia mengetahuinya,
seperti ketika masuk matahari umpamanya nescaya tidak wajib dia mandi pada
tiap-tiap malam atau siang melainkan pada ketika masuk matahari jua.
Disembahyangkannya dengan mandinya itu akan maghrib, dan mengambil wudhuk dia
bagi fardhu-fardhu yang selain maghrib kerana diihtimalkan putus darahnya pada
waktu maghrib jua, tiada selainnya.
Wajib dia puasa
ramadhan kerana diihtimalkan sucinya didalam sebulan. Kemudian, hendaklah
dia puasa pula sebulan genap. Maka apabila telah dipuasakannya dua bulan
tinggallah atasnya puasa dua hari jika tidak beradat putus darahnya pada waktu malam
seperti beradat putusnya pada waktu siang atau dia syak pada yang demikian itu,
kerana diihtimalkan dia berhaid pada lima belas hari dan permulaan datang
darahnya pada siang hari dan putusnya pada siang hari yang keenam belas, maka
binasalah puasanya enam belas hari pada bulan yang pertama dan enam belas hari
pada bulan yang kedua dan sah puasanya empat belas hari pada bulan yang pertama
dan empat belas hari pada bulan yang kedua. Maka jumlah puasanya yang sah dua
puluh lapan hari. Maka tinggal diatasnya puasa dua hari. Adapun jika beradat
putus darahnya itu pada malam tiadalah tinggal atasnya daripada puasanya suatu
apapun.
Maka apabila tinggal
diatasnya puasa dua hari hendaklah dia puasa untuk keduanya enam hari daripada
lapan belas hari, tiga hari pada permulaannya dan tiga hari pada kesudahannya,
maka terhasillah dua hari, kerana jika haid datang pada hari yang pertama
nescaya putuslah ia pada hari keenam belas, maka sahlah puasanya dua hari yang
akhir, dan jika haid itu datang pada hari yang kedua sahlah puasanya dua hari
iaitu yang pertama dan yang akhir iaitu yang kelapan belas, dan jika darahnya
itu datang pada hari yang ketiga sahlah puasanya dua hari yang pertama, dan
jika ia datang pada hari yang keenam belas sahlah puasanya dua hari iaitu hari
yang kedua dan yang ketiga, dan jika iadatang pada hari yang ketujuh belas
sahlah puasanya pada hari yang keenam belas dan hari yang ketiga, dan jika ia
datang pada hari yang kelapan belas sahlah puasanya pada hari yang keenam belas
dan yang ketujuh belas.
Jika yang dikadhanya itu puasa sehari maka hendaklah dipuasakannya
tiga hari daripada tujuh belas hari iaitu yang pertama dan yang ketiga dan yang
ketujuh belas, kerana jika datang haid pada hari yang pertama sahlah puasanya pada
hari yang ketujuh belas, jika datang ia pada hari yang kedua sahlah puasanya
pada hari yang pertama, jika kesudahan haidnya itu pada hari yang pertama
sahlah puasanya hari yang ketiga, dan jika kesudahannya itu pada hari yang
ketiga sahlah puasanya pada hari yang ketujuh belas.
Lihat rajah di bawah ini: