TAKRIF
Istihadhah
pada syarak: darah penyakit yang keluar daripada hujung urat dibawah rahim
perempuan diluar masa sebanyak-banyak haid dan diluar masa sebanyak-banyak
nifas, samaada ia keluar mengiringi darah haid atau tidak.
Kata sebahagian ulamak : istihadhah itu tertentu pada darah yang berhubung dengan
darah haid, selain daripada itu darah fasad bukan istihadhah. Kata syeikh Ibnu
Hajar didalam Syarah Bafadhal : khilaf itu kembali kepada lafaz jua.
HUKUM
ISTIHADAH
Istihadhah
adalah hadath yang berpanjangan, bandingannya seperti kumuh atau wadi atau mazi
yang sentiasa keluar. Maka ia tidak menegah sembahyang dan puasa dan setubuh
dan barang sebagainya. Maka tidak diharamkan diatas mustahadhah dan orang yang sentiasa keluar kumuh atau wadi
atau mazi apa yang diharamkan atas perempuan yang berhaid dan bernifas.
KEWAJIPAN
BERSUCI KE ATAS MUSTAHADAH
Wajib
atas mustahadhah membasuh farajnya. Kemudian jika tiada tertahan darahnya
daripada keluar melainkan dengan sumbat maka wajib dia menyumbat farajnya
dengan umpama kapas jika tidak kesakitan dia dengan sumbat itu disebab
terkurung darahnya dan jika dia tidak berpuasa. Jika tidak, memadainya oleh
sumbat sebab banyak darah serta tiada tertahan darah dan tiada kurang melainkan
dengan cawat maka wajib pula dia bercawat dengan kaifiat cawat yang masyhur
jika tiada kesakitan dia dengan bercawat.
Adapun jika dia kesakitan dengan keduanya maka tiada wajib
keduanya. Jika dia berpuasa wajib dia menanggalkan sumbat pada siang hari.
Jikalau keluar darah kemudian daripada sumbat dan bercawat dengan tiada ada kecuaian
pada menyumbat dan mengikat cawat itumaka ianya tidak mengapa.
Wajib
atasnya selepas bercawat itu mengambil wuduk atau bertayammum. Wajib keadaan
membasuh faraj, menyumbatnya, bercawat dan mengambil wuduk atau bertayammum
bagi tiap-tiap fardhu didalam waktunya, sekalipun jika tiada beralih cawat itu
dari tempatnya dan tiada nyata darah pada sekelian pihaknya. Tidak memadai
mengerjakan segala yang tersebut itu sebelum daripada masuk waktu, sama seperti
hukum tayammum.
Wajib
dia mengerjakan empat perkara ini dengan tertib seperti yang tersebut itu
dengan tiada berlambatan, seperti disumbatnya farajnya mengiringi istinja’,
bercawat mengiringi menyumbat dan mengambil wuduk atau bertayammum mengiringi
bercawat dengan tiada berlambatan. Maka tiada
harus dia melambatkan tiap-tiap yang terkemudian daripada perkara yang mendahuluinya.
Tatkala
dia selesai mengambil wuduk atau tayammum wajib dia segera mengerjakan
sembahyang kerana mengurangkan hadath barang sedapatnya, tetapi
tiada mengapa terlambat sedikit kerana
maslahat sembahyang seperti menutup aurat, ijtihad pada kiblat, menanti jamaah,
menjawab orang yang azan.. dan iqomah
dan barang sebagainya daripada kesempurnaan yang dituntut kerana sembahyang.
Maka jika dia terlambat dengan selain maslahat sembahyang seperti makan
umpamanya batallah wuduknya. Maka wajib dia mengulangi sekelian yang tersebut
itu sepertimana apa yang telah terdahulu keterangannya.
Jika
putus darah istihadhah selepas berwuduk atau ketika berwuduk wajib dia membasuh
farajnya dan berwuduk atau bertayammum kerana ihtimal sembuhnya daripada
istihadhah itu kerana asal adalah tidak kembali keluar darah itu. Wajib pula
dia mengulang sembahyang yang telah dikerjakannya dengan toharahnya yang
terdahulu itu kerana nyata batalnya. Melainkan jika
keluar semula darahnya pada masa yang hampir sekira-kira tiada sempat dia mengerjakan
toharah yang lain dan sembahyang didalam masa putus darah itu, samaada teradat
kembali darahnya atau tidak, atau dizankannya hampir kembalinya dengan adat
atau dengan khabar orang yang kepercayaan sebelum dapat mengerjakan toharah dan
sembahyang. Maka tidak wajib dia berwuduk pula kerana kekal wuduknya dengan
halnya dan sembahyanglah dia dengannya. Melainkan jika lanjut masa itu atas
menyalahi adatnya sekira-kira ia meluluskan toharah dan sembahyang. Maka batal
wuduknya dan sembahyang yang telah dikerjakan dengan wuduk itu.
Adapun orang yang sentiasa
keluar kumuh atau wadi atau mazi maka dia itu seperti mustahadhah juga pada
segala perintah yang tersebut itu. Tiada harus bagi umpama orang yang sentiasa
keluar kumuh itu menggantung umpama buluh pada zakarnya supaya menitik kumuhnya
kedalamnya kerana dia menanggung najis pada selain tempatnya dengan tidak ada
dharurat. Maka tiada sah sembahyang sertanya.
Masaalah. Jika tiada tertahan kumuh orang yang sentiasa keluar kumuh daripada
keluar melainkan dengan duduk maka wajib dia sembahyang duduk.
Orang yang sentiasa keluar mani wajib dia mandi bagi tiap-tiap
fardhu. Orang yang luka yang sentiasa mengalir darahnya atau nanahnya adalah
seperti hukum mustahadhah jua pada hukum wajib membasuh darah dan wajib membalut
bagi tiap-tiap fardu, tidak pada hukum yang lain.
CARA
PENYELESAIAN MASALAH ISTIHADAH[BASIC]
Apabila seorang perempuan yang berumur sembilan tahun atau lebih melihat
darahnya keluar kadar sehari semalam atau lebih dan tidak ia melampaui lima
belas hari dan tidak ada tinggal atasnya oleh baki daripada suci yang lalu maka
darah yang dilihatnya dan selang-selangnya yang tiada keluar darah itu adalah
haid sekeliannya, samaada perempuan itu baharu haid atau sudah beradat haid,
samaada ia muafakat dengan adatnya atau bersalahan dan samaada darah itu diatas
satu sifat seperti hitam sekeliannya atau merah sekeliannya atau kuning
sekeliannya, atau ianya diatas beberapa sifat.
Maka jika dia melihat darah hitam lima hari kemudian keluar
darah merah nescaya dihukumkan darah hitam dan merah itu haid sekeliannya
dengan syarat jika putus darahnya tatkala genap lima belas hari atau dahulu
daripadanya.
Maka jika tiada putus darahnya
bahkan ianya berkekalan maka haidnya itu darah hitam yang lima hari itu sahaja,
dan yang merah itu darah istihadhah. Lagi akan datang kenyataannya.
Adapun jika tinggal pada perempuan itu baki daripada suci yang
terdahulu seperti dilihatnya tiga hari darah kemudian dilihatnya dua belas hari
niqa’, tiada keluar darah, kemudian dilihatnya tiga hari darah kemudian putus
ia, maka darah tiga hari yang pertama itulah haid dan darah tiga hari yang
kemudian itu darah rosak. Ianya serta dua belas hari niqa’ yang dahulunya itu
hukum suci. Jika tidak putus yang demikian itu malahan berkekalan, maka
ditilik, jika dia itu seorang yang baharu berhaid maka adalah haidnya kadar
sehari semalam jua, dan jika dia sudah beradat haid maka hendaklah dia
mengamalkan adatnya, pada kadar haidnya dan waktunya. Lagi akan datang
kenyataannya.
Apabila seorang perempuan yang sudah beradat haid melihat darahnya lima
hari pada permulaan bulan sepertimana adatnya kemudian putus empat belas hari
kemudian kembali keluar darah itu hingga berkekalan. Maka sehari semalam
daripada permulaan darah yang kembali keluar itu hukum suci seperti empat belas
hari yang sebelumnya, dan lima hari yang kemudiannya itu dihukumkan haid.
Kemudian, sentiasalah berkekalan daurnya itu dua puluh hari.
KAEDAH PENTING
Apabila
seorang perempuan melihat darahnya keluar pada masa terboleh kedatangan haid
wajib dia meninggalkan sembahyang dan puasa dan barang sebagainya, daripada apa
yang haram dengan sebab haid.
Kemudian, jika putus darah itu sebelum genap sehari
semalam nyatalah darah itu bukan haid. Maka wajib dia mengkadha sembahyang dan
puasanya yang dia tinggalkan dalam masa itu. Jika putus darah itu selepas
daripada sehari semalam nyatalah darah itu haid jua.
Demikian lagi dengan
semata-mata putus darah haid yang alamatnya jika dimasukkan kapas kedalam
farajnya kemudian dikeluarkan nescaya adalah ia putih dengan bersihnya wajiblah
dia mandi untuk mengerjakan ibadat seperti sembahyang dan puasa dan barang
sebagainya. Kemudian jika ia kembali
keluar sebelum genap lima belas hari wajib pula dia meninggalkan sembahyang,
puasa dan barang sebagainya. Jika putus darah itu wajib pula atasnya
mengerjakan ibadat yang tersebut itu.
Demikianlah, hingga lalu
lima belas hari. Maka pada ketika itu dikembalikan perempuan itu kepada
adatnya jika dia sudah beradat haid, atau dihukumkan haidnya sehari semalam
jika dia baharu kedatangan haid.
Jika darahnya itu tidak melintasi lima belas hari nyatalah bahawasanya
setiap darah dan selang-selangnya yang tiada keluar darah itu adalah haid jua.
Jadi
pada bulan yang kedua dan yang ketiga dan yang kemudiannya hendaklah diperamalkan
hukum haid dan suci seperti pada bulan yang pertama jua.