Bab Haid


TAKRIF

Fasal pada menyatakan haid. Bermula arti haid pada bahasa: mengalir dan arti haid pada syara’: darah tabi’e yang keluar daripada penghujung rahim perempuan pada ketika sihat tubuhnya didalam waktu-waktu yang tertentu .  


UMUR  TERBOLEH KELUAR HAID

 Sekurang-kurang tahun haid itu sempurna sembilan tahun Qamariah dengan takrib, tidak dengan tahdid.
Maka jikalau seorang perempuan melihat darah sebelum daripada sembilan tahun kadar yang tiada memuatkan sekali haid dan sekali suci iaitu lima belas hari atau kurang maka darah yang dilihatnya itu haid jua. Bersalahan jikalau kurangnya daripada sembilan tahun itu kadar yang memuatkan sekali haid dan sekali suci iaitu lima belas hari atau lebih. Maka darah yang dilihatnya itu darah rosak, bukan darah haid.


SEKURANG-KURANG TEMPOH HAID

Sekurang-kurang masa haid adalah kadar sehari semalam dalam keadaan ia berhubung iaitu dua puluh empat jam. Yang dikehendaki dengan berhubung ini adalah bahawa umpama kapas jikalau dimasukkan ia kedalam faraj nescaya berlumur ia dengan darah, sekalipun tiada keluar darah itu kepada tempat yang wajib membasuhnya ketika istinja.
Dikaitkan darah yang kadar sehari semalam itu dengan keadaannya berhubung hanyalah kerana tujuan menyatakan sekurang-kurang haid. Tidak boleh tergambar sekurang-kurangnya melainkan dengan berhubung. Ini kerana, jika darah itu tidak berhubung, iaitu terputus-putus keluarnya maka tidak sunyi ada kalanya perhimpunan darah yang bercerai itu sampai sehari semalam, atau tidak. Maka jika sampai, lazimlah lebih darah itu dari sekurang-kurangnya, kerana niqa’ pada selang-selang darah-darah itu adalah juga haid, seperti darah itu sendiri. Jika tiada sampai perhimpunannya sehari semalam maka ianya bukan haid.



TEMPOH MAKSIMA HAID

Sebanyak-banyak masa haid itu lima belas hari lima belas malam sekalipun tidak berhubung.


TEMPOH GHALIB HAID

Yang ghalib masa haid itu enam hari atau tujuh hari. Semua itu sabit ia dengan periksa (istiqra’) imam kita Syafie’.

TEMPOH SUCI ANTARA HAID

Sekurang-kurang masa suci diantara dua haid itu lima belas hari lima belas malam kerana didalam sebulan pada ghalibnya tidak sunyi daripada sekali haid dan sekali suci, jadi apabila sebanyak-banyak haid itu lima belas hari lazim
bahawa sekurang-kurang suci lima belas hari juga.

SUCI ANTARA HAID DAN NIFAS

 Keluar dengan ‘antara dua haid’ oleh suci antara haid dan nifas. Maka harus bahawa ia kurang daripada lima belas hari, samaada terdahulu haid daripada nifas atau terkemudian ia daripadanya.
Rupa masaalah terdahulu haid daripada nifas : seorang perempuan yang bunting melihat darahnya kadar sehari semalam atau lebih kemudian dia beranak, selepas daripada putus darahnya satu jam, umpamanya. Maka darah yang dilihatnya sebelum daripada beranak itu adalah darah haid dan yang keluar selepas daripada beranak itu adalah darah nifas. Masa suci antara keduanya pada contoh ini satu jam.
Rupa masaalah terkemudian haid daripada nifas: seperti putus darah nifas selepas daripada enam puluh hari, selepas daripada satu jam umpamanya keluar darah kadar sehari semalam atau lebih. Maka darah yang keluar itu darah haid.Masa suci antara keduanya pada contoh ini satu jam.

PUTUS DARAH DALAM TEMPOH NIFAS

 Adapun jika putus darah nifas didalam enam puluh hari kemudian keluar darah kadar sehari semalam atau lebih, sebelum daripada sempurna enam puluh hari itu maka darah yang keluar itu darah nifas jua bukan darah haid melainkan jika ia keluar selepas daripada lima belas hari, maka darah itu adalah darah haid.
Tiada had bagi sebanyak-banyak suci kerana terkadang seorang perempuan tiada berhaid didalam seumur hidupnya melainkan sekali sahaja, dan terkadang dia tiada berhaid sekali-kali didalam seumur hidupnya.
Yang ghalib daripada masa suci adalah masa yang tinggal daripada sebulan selepas daripada ghalib haid itu. Telah terdahulu bahawa ghalib haid itu enam hari atau tujuh hari maka ghalib suci itu dua puluh empat atau dua puluh tiga hari. Ini sekiranya bulan itu genap tiga puluh hari. Sekiranya ia kurang sehari semalam maka ghalib suci itu dua puluh dua atau dua puluh tiga.



PERHATIAN
Jika umpamanya berlaku adat seorang perempuan atau lebih dengan menyalahi had darah yang paling kurang atau had yang paling banyak yang telah tersebut itu tidak diikuti adat itu kerana menyalahi periksa imam kita Syafie’ dan sekelian ulamak yang mana periksa mereka itu terlebih sempurna. Meninggalkan darahnya itu diatas darah rosak adalah terutama daripada menyalahi keberkekalan adat yang sabit dengan pemeriksaan mereka itu.